Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

  • Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakan-rakan.

  • InsyaAllah, saya dan isteri akan mengadakan jamuan'rumah terbuka', yang tarikhnya akan dimaklumkan nanti.

Friday, September 26, 2008

Pemilihan MKT Ditangguh

  • Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuarat khasnya pagi tadi telah memutuskan supaya pemilihan jawatan-jawatan di peringkat pusat ditangguhkan sehingga Mac 2009. Sementara pemilihan di peringkat bahagian dikekalkan bermula 9 Oktober hingga 9 November ini.
  • Ulasan : Nak ulas panjang-panjang pun tak de maknanya, kalau tanya budak Tadika KEMAS pun dia orang tau sebab-musababnya. Cuma saya nak cadangkan supaya jawatan Presiden UMNO ditukar kepada Presiden UMNO Seumur Hidup! Pak Lah tentu seronok, kan..? Hidup Pak Lah!!

Wednesday, September 24, 2008

PEMERKASAAN PERGERAKAN PEMUDA

Kita harus menerima hakikat bahawa PRU12 adalah bukti terhakisnya sokongan rakyat kepada parti pemerintah. BN kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, kehilangan majoriti 2/3 di DUN Negeri Sembilan dan terlepas penguasaan di 4 negeri, selain gagal menawan Kelantan. Wilayah Persekutuan turut ditawan oleh pakatan pembangkang.
Di negeri Pahang, siapa pernah menduga Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan, di mana terletaknya pusat pentadbiran kerajaan negeri, jatuh ke tangan pembangkang? Begitu juga DUN Beserah. Kita juga gagal menghapuskan penguasaan DAP di Triang, malahan mereka dapat pula menambah kerusi dengan kemenangan di DUN Tras. Namun, apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila kita gagal mempertahankan DUN Kuala Semantan yang kembali dikuasai oleh PAS.
Selain itu, sungguhpun kita mengekalkan kerusi Parlimen Temerloh, namun majoritinya jatuh merudum daripada 12,607 pada PRU 11 kepada hanya kurang daripada 3,000 pada PRU 12.
Situasi ini berlaku disebabkan gabungan pelbagai isu dan faktor sama ada yang bersifat nasional atau tempatan. Isu nasional yang mempengaruhi kecenderungan pengundi ialah soal kepimpinan kerajaan, kenaikan harga minyak dan barang-barang, isu kehakiman, rasuah, kronisme, keselamatan dan sebagainya. Manakala isu tempatan berkisar kepada soal kepimpinan kampung, mutu perkhidmatan wakil rakyat, isu pembangunan setempat, faktor pemilihan calon dan sebagainya.
Di antara kelompok usia yang begitu ketara menyokong pembangkang ialah mereka yang berumur di bawah 40 tahun. Sama ada lelaki atau perempuan atau apapun bangsa mereka, yang nyata arah sokongan pengundi muda ini telah berubah. Ini dapat dibuktikan melalui keputusan di peti-peti undi. Jika di peti undi yang mempunyai 2 saluran, perhatikan pola pengundian di saluran 2, iaitu saluran pengundi muda. Jika di peti undi yang mempunyai 4 saluran, cuba lihat pula pola pengundian di saluran 3 dan 4, juga saluran pengundi muda. Ternyata BN tewas dihampir kesemua saluran pengundi muda!
Pokoknya, mengapa perkara ini berlaku? Mengapa pengundi muda beralih arah kepada pembangkang?
Saya merasakan ini semua berlaku disebabkan wujudnya kerenggangan hubungan di antara kita iaitu ahli dan pimpinan pemuda, dengan mereka. Terlihat semacam ada jurang pemisah yang menjarakkan kita. Seolah-olah ada tembok pejal yang menutup penglihatan.
Namun begitu, akuilah bahawa selama ini kitalah yang menjarakkan diri dengan mereka. Akuilah bahawa kitalah yang membina jurang pemisah itu. Dan akuilah bahawa selama ini kitalah yang memejamkan mata daripada melihat mereka. Kita lemah dalam soal meletakkan nilai dalam perhubungan dengan rakan sebaya kita. Kita hanya berada dalam dunia politik kita yang tersendiri dan membiarkan mereka berada dalam dunia mereka yang terasing. Kita meminggirkan mereka kerana kita merasakan mereka tidak penting kepada kita. Mereka bukan Ketua Pemuda Cawangan atau perwakilan pemuda yang boleh mengundi kita di pemilihan Pemuda Bahagian. Malahan mereka juga barangkali bukan ahli pemuda kita. Namun barang diingat, mereka adalah pengundi yang boleh menentukan jatuhnya bangunnya sesebuah kerajaan!
Bagi memulihkan kembali perhubungan ini, Pergerakan Pemuda itu sendiri mesti diperkasakan. Pemerkasaan pergerakan pemuda bermakna kita mestilah memperlihatkan keikhlasan dalam perjuangan. Pemerkasaan pemuda bermakna kita harus membuang jauh-jauh sikap mementingkan diri dan kroni. Pemerkasaan pemuda juga bermakna kita mesti menampilkan diri sebagai pendamping setia kepada rakan sebaya, yang semestinya melangkaui batas dan sempadan politik kepartian. Proses pemerkasaan pemuda ini boleh direalisasikan melalui beberapa mekanisma.
Perkara pertama dan terpenting ialah soal pemimpin dan kepemimpinan. Ianya begitu penting kerana pemimpin umpama pemandu yang menentukan halatuju dan perjalanan organisasi yang dipimpin. Dalam konteks pergerakan pemuda, proses ini telahpun selesai disempurnakan di peringkat cawangan. Hasilnya telah terlahir ramai pimpinan pemuda baru yang mempunyai semangat luar biasa dan komitmen yang tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Mereka ini telah mula menggerakkan pemuda dengan pelbagai program dan aktiviti.
Hasil daripada persidangan pemuda cawangan juga, telah terpilih seramai 4 orang calon yang mana salah seorang daripada mereka akan menerima mandat untuk menerajui pimpinan pemuda pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Bahagian pada 2 November nanti. Soalnya, apakah kriteria yang akan menjadi pertimbangan perwakilan nanti? Kekuatan ekonomi, pendidikan, akhlak, budi pekerti, ketelusan, keikhlasan, kemesraan, pengalaman atau komitmen? Sesungguhnya untuk mencari individu yang mempunyai pakej sempurna sebagai pemimpin adalah mustahil. Lalu, apakah kriteria yang mesti diutamakan?
Dalam hal ini, komitmen untuk memikul dan melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengatasi kriteria yang lainnya. Komitmen untuk mempastikan proses pemerkasaan pemuda menjadi kenyataan mestilah dijadikan kayu ukur dalam memutuskan pucuk pimpinan pemuda. Komitmen ini sebenarnya boleh dinilai melalui rekod kerja masa lampau, gerak kerja masa kini dan keistiqamahan dalam perjuangan. Kerana sesungguhnya, perjuangan yang bermusim menunjukkan ketidakjujuran, sementara perjuangan sepanjang musim itulah tanda keikhlasan. Tepuk dada tanya selera !