Monday, November 17, 2008

KE ARAH RE-UNION RK-SMS

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat yang telah sama-sama mendoakan kejayaan saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh pada pemilihan 2 Nov. yang lalu.
Untuk makluman sahabat2, satu perjumpaan telah diadakan antara beberapa sahabat kita iaitu Lebai Jamiri, azri, basri & abu hassan di KL bagi membincangkan perkara berkaitan reunion kita. perkara-perkara yang dibincangkan antaranya seperti berikut:-
Penubuhan J/K penganjur yang terdiri daripada:-
1. Jamiri @ Lebai b. Hj.Sainan
2. basri Tan
3. Azri Mohd Nor
4. Abu hassan
5. Megat asri
Keahlian akan difikirkan kemudian.
Tarikh perjumpaan ialah pada 7 Disember 2008, hari ahad minggu pertama disember 2008.
Tempat perjumpaan di Bentong dan tempatnya akan ditetapkan oleh Lebai.
Objektif perjumpaan:-
1. menemukan semula rakan0rakan seperjuangan sewaktu di SMS 1982-1986
2. mendapatkan idea-idea daripada rakan-rakan seperjuangan bagaimana kita dapat membantu antara satu sama lain khususnya dalam membangunkan ekonomi kekeluargaan.
Agenda Perjumpaan:-
1. ucapan pengerusi sementara
2. sessi perkenalan semula
3. pembentangan kertas kerja selama 15 minit. J/K memerlukan penglibatan rakan-rakan untuk mengemukakan idea-idea untuk dibincangkan dalam bentuk persembahan demi membangunkan ekonomi kekeluargaan. Rakan-rakan yang berminat untuk membuat persembahan adalah amat dialu-alukan dan mohon dimaklumkan terus kepada AJK Penaja dengan kadar segera.
4. membuat kesimpulan ke atas cadangan-cadangan yang dikemukan.
5. menamakan persatuan dan penubuhan j/kuasa
6. sessi bergambar
7. makan tengahari ( cepat, siapa nak jadi penaja...)
8. solat zohor berjemaah ( diimamkan oleh Lebai la yer...)
9. bersurai
Mana-mana rakan yang hendak membawa keluarga boleh berbuat demikian, namun mereka tidak boleh hadir sewaktu mesyuarat dijalankan.
Kerjasama sahabat semua untuk memaklumkan kehadiran selewat-lewatnya pada 23 Nov.2008 kepada mana-mana AJK penganjur adalah amat diharapkan bagi memudahkan urusan penempahan tempat dan persiapan makan. kos perbelanjaan tempat mesyuarat, makan minum akan ditentukan kemudian seminggu sebelum hari perjumpaan.
Sekian, dimaklumkan...

Wednesday, October 8, 2008

Selamat Kembali Rakan-rakan RK/SMS 82-84

  • Salam Aidil Fitri..

    Kepada semua rakan-rakan yang pernah bersama mengharungi suka-duka, pahit -manis, susah -senang semasa di Kelas Rancangan Khas SM Sulaiman Bentong, tahun 82-84, selamat bertemu kembali. Semoga pertemuan ini, meski tanpa rupa, suara dan wajah, akan menjadi titik mula ke arah pertautan yang lebih kukuh dan abadi.

    Di dalam keberkatan Syawal ini, secara peribadi saya mohon ribuan maaf andai selama kita mengharungi dunia remaja di SMS dulu, banyak perlakuan, tingkah-laku atau tutur kata yang menyakitkan...hati.

  • Kepada Sdr.Jamiri@Lebai Janda Baik, yang berusaha gigih untuk mempertemukan kita, saya ucapkan sekalung tahniah dan jutaan terima kasih. Semuga usaha murni sdr.diredhaiNya.
  • Di sini juga saya sertakan nama rakan-rakan dan no hp untuk dihubungi, sebarkanlah kepada semua rakan kita yang lain.
  • Sebelum terlupa, marilah kita sedekahkan pahala bacaan surah Al-fatihah kepada Allahyarham Nizam Mohamed@ Keledek yang telah kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2006 yang lalu. Al-Fatihah...

UPDATE / 09/10/08

  • najamudin yahya @ mat kerbau / 013-9418717
  • mohd basri tan @ baie / 017-2727747
  • rostam labak / 013-3022938
  • shukor jamaluddin / 019-6165841

UPDATE / 13/ 10/08

  • mat sa'at zainal abidin / 017-2269711
  • nor khairulazadin wahid @ mat fun / 013-2734447
  • dr wan mohd roshidi wan sulaiman @ wan / 013-7772060

UPDATE / 17/11/08

  • burhan bakar / 012-9804257
  • amran kamis / 012-9389436

Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

  • Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakan-rakan.

  • InsyaAllah, saya dan isteri akan mengadakan jamuan'rumah terbuka', yang tarikhnya akan dimaklumkan nanti.

Friday, September 26, 2008

Pemilihan MKT Ditangguh

  • Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuarat khasnya pagi tadi telah memutuskan supaya pemilihan jawatan-jawatan di peringkat pusat ditangguhkan sehingga Mac 2009. Sementara pemilihan di peringkat bahagian dikekalkan bermula 9 Oktober hingga 9 November ini.
  • Ulasan : Nak ulas panjang-panjang pun tak de maknanya, kalau tanya budak Tadika KEMAS pun dia orang tau sebab-musababnya. Cuma saya nak cadangkan supaya jawatan Presiden UMNO ditukar kepada Presiden UMNO Seumur Hidup! Pak Lah tentu seronok, kan..? Hidup Pak Lah!!

Wednesday, September 24, 2008

PEMERKASAAN PERGERAKAN PEMUDA

Kita harus menerima hakikat bahawa PRU12 adalah bukti terhakisnya sokongan rakyat kepada parti pemerintah. BN kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, kehilangan majoriti 2/3 di DUN Negeri Sembilan dan terlepas penguasaan di 4 negeri, selain gagal menawan Kelantan. Wilayah Persekutuan turut ditawan oleh pakatan pembangkang.
Di negeri Pahang, siapa pernah menduga Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan, di mana terletaknya pusat pentadbiran kerajaan negeri, jatuh ke tangan pembangkang? Begitu juga DUN Beserah. Kita juga gagal menghapuskan penguasaan DAP di Triang, malahan mereka dapat pula menambah kerusi dengan kemenangan di DUN Tras. Namun, apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila kita gagal mempertahankan DUN Kuala Semantan yang kembali dikuasai oleh PAS.
Selain itu, sungguhpun kita mengekalkan kerusi Parlimen Temerloh, namun majoritinya jatuh merudum daripada 12,607 pada PRU 11 kepada hanya kurang daripada 3,000 pada PRU 12.
Situasi ini berlaku disebabkan gabungan pelbagai isu dan faktor sama ada yang bersifat nasional atau tempatan. Isu nasional yang mempengaruhi kecenderungan pengundi ialah soal kepimpinan kerajaan, kenaikan harga minyak dan barang-barang, isu kehakiman, rasuah, kronisme, keselamatan dan sebagainya. Manakala isu tempatan berkisar kepada soal kepimpinan kampung, mutu perkhidmatan wakil rakyat, isu pembangunan setempat, faktor pemilihan calon dan sebagainya.
Di antara kelompok usia yang begitu ketara menyokong pembangkang ialah mereka yang berumur di bawah 40 tahun. Sama ada lelaki atau perempuan atau apapun bangsa mereka, yang nyata arah sokongan pengundi muda ini telah berubah. Ini dapat dibuktikan melalui keputusan di peti-peti undi. Jika di peti undi yang mempunyai 2 saluran, perhatikan pola pengundian di saluran 2, iaitu saluran pengundi muda. Jika di peti undi yang mempunyai 4 saluran, cuba lihat pula pola pengundian di saluran 3 dan 4, juga saluran pengundi muda. Ternyata BN tewas dihampir kesemua saluran pengundi muda!
Pokoknya, mengapa perkara ini berlaku? Mengapa pengundi muda beralih arah kepada pembangkang?
Saya merasakan ini semua berlaku disebabkan wujudnya kerenggangan hubungan di antara kita iaitu ahli dan pimpinan pemuda, dengan mereka. Terlihat semacam ada jurang pemisah yang menjarakkan kita. Seolah-olah ada tembok pejal yang menutup penglihatan.
Namun begitu, akuilah bahawa selama ini kitalah yang menjarakkan diri dengan mereka. Akuilah bahawa kitalah yang membina jurang pemisah itu. Dan akuilah bahawa selama ini kitalah yang memejamkan mata daripada melihat mereka. Kita lemah dalam soal meletakkan nilai dalam perhubungan dengan rakan sebaya kita. Kita hanya berada dalam dunia politik kita yang tersendiri dan membiarkan mereka berada dalam dunia mereka yang terasing. Kita meminggirkan mereka kerana kita merasakan mereka tidak penting kepada kita. Mereka bukan Ketua Pemuda Cawangan atau perwakilan pemuda yang boleh mengundi kita di pemilihan Pemuda Bahagian. Malahan mereka juga barangkali bukan ahli pemuda kita. Namun barang diingat, mereka adalah pengundi yang boleh menentukan jatuhnya bangunnya sesebuah kerajaan!
Bagi memulihkan kembali perhubungan ini, Pergerakan Pemuda itu sendiri mesti diperkasakan. Pemerkasaan pergerakan pemuda bermakna kita mestilah memperlihatkan keikhlasan dalam perjuangan. Pemerkasaan pemuda bermakna kita harus membuang jauh-jauh sikap mementingkan diri dan kroni. Pemerkasaan pemuda juga bermakna kita mesti menampilkan diri sebagai pendamping setia kepada rakan sebaya, yang semestinya melangkaui batas dan sempadan politik kepartian. Proses pemerkasaan pemuda ini boleh direalisasikan melalui beberapa mekanisma.
Perkara pertama dan terpenting ialah soal pemimpin dan kepemimpinan. Ianya begitu penting kerana pemimpin umpama pemandu yang menentukan halatuju dan perjalanan organisasi yang dipimpin. Dalam konteks pergerakan pemuda, proses ini telahpun selesai disempurnakan di peringkat cawangan. Hasilnya telah terlahir ramai pimpinan pemuda baru yang mempunyai semangat luar biasa dan komitmen yang tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Mereka ini telah mula menggerakkan pemuda dengan pelbagai program dan aktiviti.
Hasil daripada persidangan pemuda cawangan juga, telah terpilih seramai 4 orang calon yang mana salah seorang daripada mereka akan menerima mandat untuk menerajui pimpinan pemuda pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Bahagian pada 2 November nanti. Soalnya, apakah kriteria yang akan menjadi pertimbangan perwakilan nanti? Kekuatan ekonomi, pendidikan, akhlak, budi pekerti, ketelusan, keikhlasan, kemesraan, pengalaman atau komitmen? Sesungguhnya untuk mencari individu yang mempunyai pakej sempurna sebagai pemimpin adalah mustahil. Lalu, apakah kriteria yang mesti diutamakan?
Dalam hal ini, komitmen untuk memikul dan melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengatasi kriteria yang lainnya. Komitmen untuk mempastikan proses pemerkasaan pemuda menjadi kenyataan mestilah dijadikan kayu ukur dalam memutuskan pucuk pimpinan pemuda. Komitmen ini sebenarnya boleh dinilai melalui rekod kerja masa lampau, gerak kerja masa kini dan keistiqamahan dalam perjuangan. Kerana sesungguhnya, perjuangan yang bermusim menunjukkan ketidakjujuran, sementara perjuangan sepanjang musim itulah tanda keikhlasan. Tepuk dada tanya selera !

Tuesday, June 24, 2008

Tataetika Pemilihan UMNO: Tafsiran Mengelirukan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia pada hari ini, Selasa 24 Jun menyentuh soal tataetika pemilihan UMNO bagi semua peringkat. Rujuk muka depan dengan tajuk " Calon pemilihan UMNO ditegah hadir kenduri, guna pelobi".

" Tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini turut melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi ", kata Utusan Malaysia.


Namun demikian, saya yakin laporan tersebut telah disalahtafsirkan oleh akhbar berkenaan.


Rujuk Tataetika Ahli UMNO versi 2008, perkara 5.6 Majlis dan Pertemuan, pecahan 5.6.1 seperti berikut:-


Kecuali untuk perhimpunan, pertemuan, atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan/atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahli-ahli parti dilarang di dalam Tempoh Pemilihan menganjurkan,sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebarang perhimpunan, pertemuan jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan Ahli-ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat Pemilihan parti.


CONTOH:-

a) Calon menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihaknya sendiri.


b) Ahli UMNO menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat pemilihan parti.


Melalui contoh yang dipetik daripada buku Tataetika Ahli UMNO ini jelas bahawa apa yang sebenarnya dilarang bukan hadir ke mana-mana majlis tetapi yang dilarang ialah ' hadir dan berucap'. Berucap pula ialah yang bertujuan meraih undi dan berkempen, jika sekadar berucap meraikan tetamu atau mengucapkan terima kasih sebagai tuan rumah, apa salahnya. Inikan sebahagian adat dan budaya Melayu kita, iaitu menghormati dan menghargai tetamu?

Thursday, June 12, 2008

Gaji 2 X Sebulan : Apa Rasionalnya?

Mulai Ogos ini, gaji pegawai dan kakitangan awam akan dibayar dalam dua ansuran sebulan.
" Separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan setiap bulan manakala separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan. Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, caruman KWSP dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," kata Perdana Menteri di pejabatnya semalam.
Saya agak terkejut dengan langkah terbaru yang diumumkan Perdana Menteri ini. Lalu berfikir apakah rasionalnya tindakan tersebut.
Menurut PM, pembayaran gaji dua kali sebulan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan para pekerja. Di samping itu, boleh membantu pekerja menguruskan aliran tunai isi rumah.
Bagi saya pembayaran gaji dua kali sebulan tidak mengubah apa-apapun. Perbelanjaan harian dan bulanan tetap sama. Ansuran kereta, petrol, bayaran rumah, belanja dapur, bil-bil utiliti dan yang lainnya tetap begitu. Apa yang berbeza ialah kalau dulu dengan RM 100 telah boleh memenuhkan tangki kereta, tetapi sekarang tidak lagi. Kalau dulu dengan RM 50 kita boleh berbelanja di pekan sehari atau pasar malam, tetapi sekarang dengan wang sebanyak itu apa yang boleh kita dapat?
Perkara pokok kepada isu ini ialah kenaikan harga bahan api dan sekaligus kenaikan kos hidup rakyat. Ini bukan soal kakitangan awam tidak bijak mengurus perbelanjaan. Ini bukan soal mengurangkan tekanan kewangan. Ini soal kelansungan hidup! Ini soal kebajikan dan kemakmuran rakyat.
Sama ada gaji dibayar dua kali sebulan ke, seminggu sekali ke, jika jumlahnya sama dengan yang dibayar sebulan sekali, apa maknanya? Kakitangan awam tetap mendapat jumlah yang sama, tetapi perbelanjaan untuk hidup sudah tidak sama.
Cubalah difikirkan, contohnya, mereka yang bergaji RM 1500 sebulan boleh menguruskan kewangan jika gaji dibayar dua kali. Gaji kali pertama sebanyak RM 750. Mana nak bayar kereta, bayar bil-bil utiliti, petrol, belanja dapur dan sebagainya. Kalau bayar kereta RM 450, tinggal lagi RM 300 untuk perbelanjaan selama 2 minggu. Cukupkah itu? Mungkin sekadar lepas untuk belanja dapur sahaja. Perbelanjaan lain macam mana. Anak-anak yang bersekolah, tambang bas, petrol dan lain-lain. Akhirnya, bajet untuk membayar kereta terpaksa digunakan dahulu, dengan harapan gaji kali kedua boleh menampungnya. Bila sampai hujung bulan, gaji kali kedua akan dikenakan potongan KWSP dan sebagainya. Berapa yang berbaki? Kehidupan perlu diteruskan. Akhirnya kereta tak bayar, tertunggak dan timbul masalah baru.
Itu bagi yang bergaji RM 1500 sebulan. Bagaimana yang bergaji RM 1000? RM 800 dan sebagainya?
Sebab itulah kerajaan jangan hanya memberikan formula yang tidakpun memberi apa-apa makna kepada rakyat khususnya kakitangan awam. Fikirkanlah mekanisme yang lain. Pengurangan potongan KWSP pekerja, sebagai contoh. Atau benarkan kakitangan awam membuat kerja-kerja sambilan. Hakikatnya, perkara ini telah lama berlaku, terutama di Kuala Lumpur. Berapa ramai kakitangan awam yang memandu teksi setelah habis waktu kerja? Berniaga kecil-kecilan, aktif dalam khidmat jualan langsung dan sebagainya. Ini berlaku di mana-mana dan bukan rahsia lagi.

Wednesday, June 4, 2008

SIKAP PEMANDU KENDERAAN DI MALAYSIA

Melalui pengamatan saya, dapat dilihat beberapa sikap buruk dan sambil lewa para pemandu kenderaan di negara kita. Mungkin ini juga menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalanraya.
i.Memakai talipinggang keledar hanya bila diketahui melalui isyarat lampu daripada pemandu yang bertentangan jalan bahawa ada sekatan jalanraya di hadapan .
( Tak takut mati tapi takut Polis Trafik atau JPJ )
ii. Tidak menyalakan signal atau lambat menyalakannya apabila ingin masuk atau keluar ke mana-mana arah daripada jalan yang dilalui.
( Akibatnya akan disumpah seranah oleh pemandu yang mengekori di belakang atau jika di simpang jalan, oleh pemandu yang tertunggu arah haluan kenderaan tersebut.)
iii. Tidak menyalakan lampu walaupun cuaca telah mulai gelap atau sewaktu hujan lebat sehingga jarak penglihatan terhad.
( Mungkin dia masih boleh nampak arah jalan tetapi kenderaan yang mengekori di belakang atau yang datang dari arah bertentangan mungkin tidak dapat melihat dengan jelas kenderaan tersebut. Mungkin juga dia ingat bila pasang lampu, lebih minyak akan digunakan. Bebal....)
iv. Terus memandu dengan amat perlahan di lorong sebelah kanan walaupun telah diekori rapat oleh kenderaan di belakang.
( Dengan selambanya terus memandu di lorong sebelah kanan sambil bersantai-santai walaupun kenderaan di belakang sudah menyalakan lampu untuk memotong. )( Biasanya wanita..jangan marah )
Memang banyak lagi sikap buruk pemandu di Malaysia ni, tapi tiga sebab terakhir di atas pasti amat menyakitkan hati pemandu lain yang mengalami situasi ini.
TAPI INGATLAH ' SABAR SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN '

Monday, June 2, 2008

Mahathir keluar Ezam masuk

Kita baru sahaja dikejutkan dengan keluar bersyarat Dr.M dari perut UMNO. Diikuti oleh bekas wanita pertama negara dan bekas Bendahari Pemuda UMNO Pusat. Banyak lah komen yang pro dan kontra diberi, mengikut kepentingan dan perkiraan masa depan masing-masing. Mungkin juga perhitungan tentang periuk nasi juga diambil kira. Namun pandangan yang ikhlas tetap ada, demi untuk parti,bangsa dan negara.


Kemudian kita dikejutkan pula dengan kemasukan semula bekas hulubalang dan orang kanan DSAI, iaitu Ezam Mohd Nor ke dalam UMNO. Namun sebenarnya kejutan kemasukan Ezam ini tidaklah seberapa kerana ura-uranya telah tersebar sebelum PRU 12 lagi.


Namun apa yang lebih mengejutkan ialah cara dan sambutan yang diberikan oleh pimpinan parti terhadap beliau. Borang keahliannya diserah tangan kepada Presiden Parti sendiri ! Laluan kemasukan semula beliau seolah-olah dihamparkan permaidani merah. Lalu disambut penuh meriah oleh tuan rumah. Situasi ini mirip kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada era Dr.M dahulu.


Latar perjuangan keduanya juga hampir sama. Anwar adalah penentang kerajaan pada ketika itu. Cumanya tentangan beliau waktu itu tidak melalui parti siasah. Pada akhirnya kembali ke pihak yang ditentang. Kemudian kembali menentang dan akhirnya kini semuanya menjadi sejarah.


Ezam juga merupakan penentang Kerajaan dan parti pemerintah. Bezanya beliau menentang parti yang pernah beliau berperanan di dalamnya. Di era reformasi, beliaulah panglima perang yang mendominasi gerakan reformasi. Negara menjadi hura-hara. Banyak harta benda awam yang musnah. Beliau juga mendakwa mempunyai berkotak-kotak dokumen rasuah pemimpin kerajaan, yang tidak dibuktikan sehingga kini. Beliau sanggup merengkok dalam tahanan demi perjuangan, kononnya. Lalu akhirnya, akibat persaingan peribadi dengan Azmin Ali, beliau membawa rajuk hati lalu keluar dari PKR dan menubuhkan GERAK. Lalu kini? Kembali menelan ludah dan dihamparkan red carpet untuk kembali ke dalam UMNO.
Tidak kering lagi dakwat dalam borang keahlian UMNO, beliau telah menyatakan kesediaan untuk menerajui pimpinan Pemuda UMNO. Bebal benar Ezam ni. Tak tahu kah beliau untuk mempunyai hak memilih dan dipilih di peringkat mana sekalipun, seseorang ahli UMNO mesti telah menjelaskan yuran tahunan untuk tahun yang sebelumnya? Untuk layak dipilih dan memilih dalam tahun 2008, yuran mesti telah dijelaskan sebelum 31 Disember 2007. Mungkin setelah menyedari kebebalannya, maka keesokan harinya beliau telah menafikan kenyataan sebelumnya, lalu menyatakan perjuangannya di dalam UMNO ini tanpa mendambakan sebarang jawatan. Boleh percaya ke?
Berbalik kepada perkara pokok kemasukan Ezam ni. Pada satu ketika, DSAI sendiripun pernah diwar-warkan akan kembali bersama UMNO setelah dibebaskan dari tahanan. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa telah ada usaha dan gerakan ke arah itu, demi penyatuan Melayu. Namun, apa respon pemimpin UMNO ketika itu? Gegak gempita langit UMNO, dan bagai nak terbalik bumi UMNO oleh kerana bantahan dan kecaman pemimpinnya. DSAI petualang negara, pengkhianat parti dan sebagainya. DSAI tidak diperlukan oleh UMNO. Kerana apa? Kerana ada yang merasakan ancaman kepada kedudukan masing-masing jika DSAI kembali ke UMNO. Tapi lihatlah sekarang. Kita hampir saja terlepas kuasa pemerintahan negara. Kalaulah DSAI diusahakan untuk kembali bersama UMNO dahulu, pasti keadaan ini tidak berlaku. Pastinya tsunami politik PRU 12 juga tidak berlaku.
Lalu kita semua tahu, siapalah sangat Ezam jika nak dibandingkan dengan DSAI. Namun Ezam pada waktu ini diangkat umpama hero lalu kemasukannya kembali ke dalam UMNO dianggap sebagai talian hayat kepada UMNO. Benarlah kata orang-orang tua kita, tiada rotan akarpun berguna, kerana kita biasanya bersikap ' sudah terhantuk baru tengadah '.

Bicara Perjuangan

- Dedikasi untuk Pejuang-pejuang UMNO sebagai muhasabah diri -

Ramai yang bicara soal perjuangan..
Untuk membela masyarakat Melayu di bandar dan desa,
Untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara,
Untuk mempertahankan budaya ibunda tercinta,
Tanpa mengira keadaan dan masa.

Tapi hakikatnya..

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau ibadat kepada Tuhan kita pinggirkan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau tak mengenal mana musuh dan mana kawan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau takut menentang lawan cara berdepan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau hanya mengharapkan imbuhan dan imbalan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau hanya pandai berjanji dan memberi harapan tapi tak kesampaian

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau diri sendiri tak berubah ke arah kebaikan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau tatasusila dan budi bahasa dipandang ringan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau hanya pandai membangkang tanpa menunjukkan jalan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau membantu masyarakat buat kita jadi bosan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau ahli yang ramai jadi sedikit bilangan dan akhirnya cawangan dibubarkan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau niat terpesong untuk jatuhkan kawan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau diberi tanggungjawab tak dilaksanakan dengan keikhlasan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau cawangan minta 2 hamper pun kita tak boleh tunaikan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau turun ke cawangan hanya di musim pemilihan kerana hendakkan pencalonan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau yuran tahunan pun kita tak hiraukan dan harap orang lain tolong bayarkan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau tunduk kepada ugutan dan ancaman

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau wang ringgit jadi tukaran untuk undian

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau insan marhain tapi berkebolehan tak diberi tempat dan ruangan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau maruah dan harga diri digadaikan demi satu jawatan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau semangat setiakawan hanya bila di depan tapi di belakang menikam kawan

Usah bicara soal perjuangan,
Kalau ungkapan keramat ' Bersatu Bersetia Berkhidmat ' hanya tinggal slogan yang makin diabaikan..

( Pertama kali didiklemasikan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh Tahun 2007,
mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian )


Wednesday, May 28, 2008

SELAMAT DATANG KE TEDONGSUCI

Blog dibina sebagai platform maya untuk saya dan rakan-rakan semua bertukar-tukar pandangan atas apa sahaja isu. Sudi-sudilah..Terima kasih..