Thursday, June 12, 2008

Gaji 2 X Sebulan : Apa Rasionalnya?

Mulai Ogos ini, gaji pegawai dan kakitangan awam akan dibayar dalam dua ansuran sebulan.
" Separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan setiap bulan manakala separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan. Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, caruman KWSP dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," kata Perdana Menteri di pejabatnya semalam.
Saya agak terkejut dengan langkah terbaru yang diumumkan Perdana Menteri ini. Lalu berfikir apakah rasionalnya tindakan tersebut.
Menurut PM, pembayaran gaji dua kali sebulan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan para pekerja. Di samping itu, boleh membantu pekerja menguruskan aliran tunai isi rumah.
Bagi saya pembayaran gaji dua kali sebulan tidak mengubah apa-apapun. Perbelanjaan harian dan bulanan tetap sama. Ansuran kereta, petrol, bayaran rumah, belanja dapur, bil-bil utiliti dan yang lainnya tetap begitu. Apa yang berbeza ialah kalau dulu dengan RM 100 telah boleh memenuhkan tangki kereta, tetapi sekarang tidak lagi. Kalau dulu dengan RM 50 kita boleh berbelanja di pekan sehari atau pasar malam, tetapi sekarang dengan wang sebanyak itu apa yang boleh kita dapat?
Perkara pokok kepada isu ini ialah kenaikan harga bahan api dan sekaligus kenaikan kos hidup rakyat. Ini bukan soal kakitangan awam tidak bijak mengurus perbelanjaan. Ini bukan soal mengurangkan tekanan kewangan. Ini soal kelansungan hidup! Ini soal kebajikan dan kemakmuran rakyat.
Sama ada gaji dibayar dua kali sebulan ke, seminggu sekali ke, jika jumlahnya sama dengan yang dibayar sebulan sekali, apa maknanya? Kakitangan awam tetap mendapat jumlah yang sama, tetapi perbelanjaan untuk hidup sudah tidak sama.
Cubalah difikirkan, contohnya, mereka yang bergaji RM 1500 sebulan boleh menguruskan kewangan jika gaji dibayar dua kali. Gaji kali pertama sebanyak RM 750. Mana nak bayar kereta, bayar bil-bil utiliti, petrol, belanja dapur dan sebagainya. Kalau bayar kereta RM 450, tinggal lagi RM 300 untuk perbelanjaan selama 2 minggu. Cukupkah itu? Mungkin sekadar lepas untuk belanja dapur sahaja. Perbelanjaan lain macam mana. Anak-anak yang bersekolah, tambang bas, petrol dan lain-lain. Akhirnya, bajet untuk membayar kereta terpaksa digunakan dahulu, dengan harapan gaji kali kedua boleh menampungnya. Bila sampai hujung bulan, gaji kali kedua akan dikenakan potongan KWSP dan sebagainya. Berapa yang berbaki? Kehidupan perlu diteruskan. Akhirnya kereta tak bayar, tertunggak dan timbul masalah baru.
Itu bagi yang bergaji RM 1500 sebulan. Bagaimana yang bergaji RM 1000? RM 800 dan sebagainya?
Sebab itulah kerajaan jangan hanya memberikan formula yang tidakpun memberi apa-apa makna kepada rakyat khususnya kakitangan awam. Fikirkanlah mekanisme yang lain. Pengurangan potongan KWSP pekerja, sebagai contoh. Atau benarkan kakitangan awam membuat kerja-kerja sambilan. Hakikatnya, perkara ini telah lama berlaku, terutama di Kuala Lumpur. Berapa ramai kakitangan awam yang memandu teksi setelah habis waktu kerja? Berniaga kecil-kecilan, aktif dalam khidmat jualan langsung dan sebagainya. Ini berlaku di mana-mana dan bukan rahsia lagi.

4 comments:

Another blog by AAJ said...

Assalamualaikum,

Tuan memberikan satu pandangan yang cukup rasional. Entah dari mana lah idea yang di terima pakai oleh PM tentang sistem gaji 2 kali sebulan. Sewaktu saya bekerja sebagai remiser dulu, saya mendapat gaji 2 kali sebulan juga.
Rasionalnya gaji 2 kali sebulan digunapakai dalam industri sekuriti adalah jelas. Lebih banyak transaksi yang dijalankan dalam tempoh 2 minggu, semakin banyak komisen yang akan diperolehi oleh pekerja. Ini menyebabkan pekerja akan lebih bersunggu-sungguh untuk mendapatkan transaksi dalam bursa saham. Sistem ini amat sesuai bagi gaji yang berasaskan komisen. Ada juga sektor swasta lain menggunakan sistem ini, namun begitu, tetap juga sistem komisen digunakan, termasuk gaji pokok.
Tak tahulah kalau kerajaan PM sekarang mengamalkan sistem gaji komisen juga. Mungkinlah kot.
Apapun, pada pandangan saya komisen tu tak dapat ke kerani am, mahupun ketua kerani.
Maka adalah sangat-sangat tidak praktikal sistem ini dijalankan kepada sektor kerajaan. Percayalah, dengan sistem 2 kali sebulan, leih banyak kereta akan ditarik, lebih banyak rumah yang dilelong bank.

Pening jadi rakyat era pasca-Mahathir ni.

Salam.

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Sdra,

Buletin Utama TV3 16/6/08,.. SUHAKAM meminta kerajaan mengkaji semula pembayaran gaji 2x sebulan sebab merasakan ianya tidak membantu k/tgn awam, sementelah lagi, ramai di kalangan k/tgn awam ini yang tidak bersetuju dibayar 2 x sebulan, seperti sdra..

Barangkali sdra mempunyai hubungan rapat dgn Suruhanjaya SUHAKAM.. Datuk N. Siva Subramaniam.. kerana Datuk akan memanjangkan usul ini kepada Quepecs untuk dibawa berbincang dengan kerajaan..

Tahniah sdra, menjadi antara yang prihatin akan kemelut yang melanda sekarang.

mma said...

Nampaknya kerajaan dah kaji balik pasal gaji 2 kali sebulan ni.