Monday, June 2, 2008

Mahathir keluar Ezam masuk

Kita baru sahaja dikejutkan dengan keluar bersyarat Dr.M dari perut UMNO. Diikuti oleh bekas wanita pertama negara dan bekas Bendahari Pemuda UMNO Pusat. Banyak lah komen yang pro dan kontra diberi, mengikut kepentingan dan perkiraan masa depan masing-masing. Mungkin juga perhitungan tentang periuk nasi juga diambil kira. Namun pandangan yang ikhlas tetap ada, demi untuk parti,bangsa dan negara.


Kemudian kita dikejutkan pula dengan kemasukan semula bekas hulubalang dan orang kanan DSAI, iaitu Ezam Mohd Nor ke dalam UMNO. Namun sebenarnya kejutan kemasukan Ezam ini tidaklah seberapa kerana ura-uranya telah tersebar sebelum PRU 12 lagi.


Namun apa yang lebih mengejutkan ialah cara dan sambutan yang diberikan oleh pimpinan parti terhadap beliau. Borang keahliannya diserah tangan kepada Presiden Parti sendiri ! Laluan kemasukan semula beliau seolah-olah dihamparkan permaidani merah. Lalu disambut penuh meriah oleh tuan rumah. Situasi ini mirip kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada era Dr.M dahulu.


Latar perjuangan keduanya juga hampir sama. Anwar adalah penentang kerajaan pada ketika itu. Cumanya tentangan beliau waktu itu tidak melalui parti siasah. Pada akhirnya kembali ke pihak yang ditentang. Kemudian kembali menentang dan akhirnya kini semuanya menjadi sejarah.


Ezam juga merupakan penentang Kerajaan dan parti pemerintah. Bezanya beliau menentang parti yang pernah beliau berperanan di dalamnya. Di era reformasi, beliaulah panglima perang yang mendominasi gerakan reformasi. Negara menjadi hura-hara. Banyak harta benda awam yang musnah. Beliau juga mendakwa mempunyai berkotak-kotak dokumen rasuah pemimpin kerajaan, yang tidak dibuktikan sehingga kini. Beliau sanggup merengkok dalam tahanan demi perjuangan, kononnya. Lalu akhirnya, akibat persaingan peribadi dengan Azmin Ali, beliau membawa rajuk hati lalu keluar dari PKR dan menubuhkan GERAK. Lalu kini? Kembali menelan ludah dan dihamparkan red carpet untuk kembali ke dalam UMNO.
Tidak kering lagi dakwat dalam borang keahlian UMNO, beliau telah menyatakan kesediaan untuk menerajui pimpinan Pemuda UMNO. Bebal benar Ezam ni. Tak tahu kah beliau untuk mempunyai hak memilih dan dipilih di peringkat mana sekalipun, seseorang ahli UMNO mesti telah menjelaskan yuran tahunan untuk tahun yang sebelumnya? Untuk layak dipilih dan memilih dalam tahun 2008, yuran mesti telah dijelaskan sebelum 31 Disember 2007. Mungkin setelah menyedari kebebalannya, maka keesokan harinya beliau telah menafikan kenyataan sebelumnya, lalu menyatakan perjuangannya di dalam UMNO ini tanpa mendambakan sebarang jawatan. Boleh percaya ke?
Berbalik kepada perkara pokok kemasukan Ezam ni. Pada satu ketika, DSAI sendiripun pernah diwar-warkan akan kembali bersama UMNO setelah dibebaskan dari tahanan. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa telah ada usaha dan gerakan ke arah itu, demi penyatuan Melayu. Namun, apa respon pemimpin UMNO ketika itu? Gegak gempita langit UMNO, dan bagai nak terbalik bumi UMNO oleh kerana bantahan dan kecaman pemimpinnya. DSAI petualang negara, pengkhianat parti dan sebagainya. DSAI tidak diperlukan oleh UMNO. Kerana apa? Kerana ada yang merasakan ancaman kepada kedudukan masing-masing jika DSAI kembali ke UMNO. Tapi lihatlah sekarang. Kita hampir saja terlepas kuasa pemerintahan negara. Kalaulah DSAI diusahakan untuk kembali bersama UMNO dahulu, pasti keadaan ini tidak berlaku. Pastinya tsunami politik PRU 12 juga tidak berlaku.
Lalu kita semua tahu, siapalah sangat Ezam jika nak dibandingkan dengan DSAI. Namun Ezam pada waktu ini diangkat umpama hero lalu kemasukannya kembali ke dalam UMNO dianggap sebagai talian hayat kepada UMNO. Benarlah kata orang-orang tua kita, tiada rotan akarpun berguna, kerana kita biasanya bersikap ' sudah terhantuk baru tengadah '.

3 comments:

Another blog by AAJ said...

Assalamualaikum,

Tahniah kerana membuka blog ini. Baru la nampak visionnye...

Banyak andaian yang boleh kita katakan tentang Ezam ini. Koi setuju dengan TSMY yang mengingatkan bahawa Ezam boleh menjadi "hadiah Kuda Trojan". Macam trojan yang dalam PC kita. Berwaspadalah pada semua 'pop up' yang masuk dalam CPU.
It may harm you or otherwise. Avoid while you can.

Salam

Rofaie Hamdan said...

Salam bro,
Koi pun berpendapat sama dgn aok & brader AAJ dari Sg. Gau ni. Kita bukannya nak menyekat orang masuk UMNO balik. Orang putih kata "the more the merrier", lagi ramai lagi meriah tapi yang memusykilkan kenapa kemasukan Ezam ini diterima dengan begitu hebat, meriah dan istimewa sekali oleh kepimpinan tertinggi parti.

Sudah lupakah kita tentang betapa peningnya kepala org2 UMNO menangkis dakyah2 & tohmahan2 yg pernah dibuat oleh beliau. Atau memang betul kata Dr.M, Melayu ni memang mudah lupa.

Apapun, kita berharap yang kepimpinan kita dapat mengawasi gerak-geri Ezam di dalam parti. Harap2 jangan pulak nanti ingatkan duri dalam daging yang dah hilang, rupa2nye kita bwk masuk harimau pulak ke dalam kandang kambing.

Another blog by AAJ said...

Read Datuk Kadir Jasin Write on this matter.

http://kadirjasin.blogspot.com

or

aaj blog at

http://temerlohkoi.blogspot.com