Tuesday, June 24, 2008

Tataetika Pemilihan UMNO: Tafsiran Mengelirukan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia pada hari ini, Selasa 24 Jun menyentuh soal tataetika pemilihan UMNO bagi semua peringkat. Rujuk muka depan dengan tajuk " Calon pemilihan UMNO ditegah hadir kenduri, guna pelobi".

" Tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini turut melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi ", kata Utusan Malaysia.


Namun demikian, saya yakin laporan tersebut telah disalahtafsirkan oleh akhbar berkenaan.


Rujuk Tataetika Ahli UMNO versi 2008, perkara 5.6 Majlis dan Pertemuan, pecahan 5.6.1 seperti berikut:-


Kecuali untuk perhimpunan, pertemuan, atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan/atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahli-ahli parti dilarang di dalam Tempoh Pemilihan menganjurkan,sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebarang perhimpunan, pertemuan jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan Ahli-ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat Pemilihan parti.


CONTOH:-

a) Calon menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihaknya sendiri.


b) Ahli UMNO menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat pemilihan parti.


Melalui contoh yang dipetik daripada buku Tataetika Ahli UMNO ini jelas bahawa apa yang sebenarnya dilarang bukan hadir ke mana-mana majlis tetapi yang dilarang ialah ' hadir dan berucap'. Berucap pula ialah yang bertujuan meraih undi dan berkempen, jika sekadar berucap meraikan tetamu atau mengucapkan terima kasih sebagai tuan rumah, apa salahnya. Inikan sebahagian adat dan budaya Melayu kita, iaitu menghormati dan menghargai tetamu?

1 comment:

Another blog by AAJ said...

Assalamualaikum saudaraku meg,

Tapi tak ada satu pun dalam tu menghalang kita pergi kedai kopi, dan makan-makan. hehehehehe

Lagi satu koi, sebenarnya tidak jelas dengan istilah pelobi itu. Siapa yang digelar pelobi? Contohnya: Jika kita mempunyai bakal pemimpin yang baik, kemudian kita yang kenal dengan pemimpin itu memberitahu kepada orang lain bahawa pemimpin ini harus dipilih berdasarkan pemerhatian kita sendiri. Adakah kita diistilahkan sebagai pelobi? Kemudian si pendengar tadi pulak menceritakan perkara yang sama kepada orang lain. Adakah mereka juga jatuh status pelobi? Kalau nak buka akaun semasa kat bank pun kena ada 'introducer'. So kat bank pun ada pelobi jugaklah kot.

Pada koi, selagi pelobi itu tidak memburuk-burukkan orang lain atai pesaing, pelobi itu perlu ada. Kalau begitu , akhbar pun tidak boleh menyiarkan sebarang biodata atau kebaikan seseorang, kerana ia jugak satu unsur pelobi.

Runungkan sebaiknya.